Sunday, August 22, 2010

Tema Sambutan Kemerdekaan Ke-53

1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI




KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- '1Malaysia Menjana Tranformasi' menjadi tema sambutan bulan kemerdekaan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 tahun ini.





Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata intipati yang terkandung dalam Gagasan 1Malaysia akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk program dan aktiviti sepanjang tempoh sambutan dari 1 Ogos hingga 16 Sept ini.





"Kita akan merayakan kemerdekaan dan Hari Malaysia dalam sifat Malaysianya yang paling besar dan meliputi pelbagai kepentingan.





"Mulai 1 Ogos sampai 16 September kita akan libatkan sambutan Merdeka dan Hari Malaysia dan kita akan menjana program berasas kepada 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Hari Merdeka di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari Khamis.





Rais berkata sambutan bulan kemerdekaan akan dimulakan dengan pelancarannya di Stadium Utama di Kangar, Perlis, pada 1 Ogos dan berakhir dengan acara sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di Kota Kinabalu pada 16 Sept.





Katanya pelbagai program dan isian sepanjang tempoh sambutan tersebut akan menumpukan kepada kesejahteraan rakyat di bawah Gagasan 1Malaysia dan tidak melibatkan terlalu banyak ucapan oleh pemimpin.





"Misalnya bagi Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kota Kinabalu, hanya Perdana Menteri yang berucap, manakala pihak lain akan dirakamkan terlebih dahulu ucapan dan maklumat yang hendak disampaikan," katanya.





Bagi sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 31 Ogos, sekitar 20,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkannya.





Rais berkata ikrar Rukun Negara semasa sambutan Hari Merdeka akan dijelmakan mengikut konsep 1Malaysia manakala sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu akan lebih mencerminkan kebudayaan di Sabah dan Sarawak.





Semasa kemuncak sambutan di Kota Kinabalu, empat tokoh negarawan, masing-masing seorang dari Sabah dan Sarawak serta dua dari Semenanjung Malaysia, akan diberi pengiktirafan kerana sumbangan dan jasa mereka kepada negara.





Pertandingan mengibar Jalur Gemilang turut diadakan sepanjang sambutan bulan kemerdekaan yang melibatkan sekolah, pemilik kedai dan pemilik bangunan.





"Kita akan berikan permarkahan mengikut serlahan Jalur Gemilang yang hebat, yang banyak, yang besar, meriah serta ceria," katanya.





Rais juga berkata sambutan kali ini mendapat sokongan swasta yang memberi sumbangan pelbagai bentuk bernilai tidak kurang RM25 juta.


Sumber dari Bernama

0 comments:

Post a Comment